Friday, 30 October 2015

TEORI HUMANISTIK-TEORI PEMUSATAN KLIEN

Kali ini saya akan membawa anda meneroka satu teori dalam bimbingan dan kaunseling yang merupakan salah satu teori yang ulung iaitu teori pemusatan klien yang merupakan rumpun daripada teori Humanistik. Menyingkap sejarah teori ini sebenarnya telah diperkenalkan oleh Carl Ransom Rogers. Secara dasarnya teori ini merupakan juga salah satu teori yang menolak ideologi Sigmund Freud dalam teori psikoanalisis yang mengatakan bahwa manusia itu adalah hasil daripada mangsa naluri seksnya dan sentisa menuju kebinasaan diri manakala Carl Rogers mengatakan bahawa setiap manusia itu adalah baik dan boleh dipercayai dan sentiasa akan mempunyai keinginan dan kecenderungan untuk menuju kepada penyempurnaan kendiri. Disamping itu Carl Rogers juga menunjukkan betapa dia tidak setuju dengan pandangan teori psikoanalisis yang mengatakan bahawa “kaunselor lebih mengetahui”. Mungkin kali ini saya secara meluluh menyentuh mengenai teori ini kerana saya merasakan bahawasnya teori ini amat mudah untuk difahami dan diaplikasikan oleh para kaunselor dan juga sesiapa sahaja yang sudi menjadi pengamal teori ini dalam memberikan bantuan kepada klien atau seseorang yang menghadapi masalah dalam kehidupan. Ya, teori ini juga mempunyai pandangan terhadap manusia dan permasalahan manusia itu sepertimana teori yang lain. Teori ini melihat manusia itu sebenarnya mempunyai sifat-sifat yang positif, baik, rasional, sosial, realistik dan dinamik dimana manusia itu mempunyai kecenderungan kearah kesempurnaan kendiri. Carl Rogers juga menyatakan bahwa manusia itu sebenarnya adalah organisma yang patut diberikan kebebasan untuk berkembang, dan kebebasan untuk berkembang itu akan memberikan kesempurnaan manusia itu. Teori ini berpendapat bahawa manusia itu mampu untuk melaku perubahan terhadap tingkah lakunya dengan mengetahui keupanyaan kendirinya dan jalan penyelesaian masalahnya.

Pendapat atau pandangan teori ini terhadap permasalahan manusia adalah disebabkan oleh ketidakselarasan persepsi dirinya berdasarkan pengalamannya tidak sama dengan apa yang dialaminya. Untuk pengatahuan anda apabila persepsi diri berdasarkan pengalaman tidak selaras dengan kendirinya maka akan berlaku ketidakselarasan perasaan. Sebagai contoh mudah, seorang pelajar sekolah rendah yang masuk ke sekolah menengah berasrama penuh menghadapi ketidakselaran perasaaan atau masalah kendiri apabila terpaksa menjalankan kehidupan secara berdikari diamana semua perkara harus dilakukan secara sendiri. Hal ini sebenarnya berlaku disebabkan oleh tidak selarasnya pengalaman pelajar tersebut yang sebelumnya tinggal dirumah dan hidup tanpa perlu berdikari dan keperluan seharian disediakan oleh ibubapanya akan tetapi menghadapi konflik kendiri apabila pengalamannya dirumah tidak selaras dengan kehidupannya diasrama.

 Perkara penting yang anda perlu tahu adalah aspek kendiri seseoarang individu atau klien dipenngaruhi oleh persepsinya terhadap dirinya sendiri, persepsi individu lain terhadap dirinya dan persepsi dirinya terhadap orang lain. Sebagai contoh kepada persepsi diri klien terhadap dirinya ialah bagaimana “dia” melihat atau mencerminkan dirinya sendiri terutamanaya sifat-sifat baik atau buruk yang dirasakan dominan dalam dirinya yang mempengaruhi kepada tingkah laku atau sikap dirnya. Contoh kepada persepsi orang lain terhadap diri klien  ialah bagaimana orang lain melihat diri klien secara lahir dan batin  dan biasanya seseorang itu rapat dengan diri klien dan sebaliknya bagaimana persepsi klien kepada individu lain melalui pengalamannya bersama individu tersebut. Jadi ketiga-tiga aspek persepsi ini membentuk kepada kesempurnaan diri seseorang klien.

            Matlamat utama teori ini sebenarnya adalah untuk memberikan kebebasan kepada klien dalam sesuatu sesi untuk mememikirkan atau mengorak langkah menyelesaikan masalahnya dan matlamat utama kaunselor adalah mewujudkan kesedaran terhadap tanggungjawab klien kepada masalah yang dihadapi dimana akhirnya pasti memusat kepada klien itu sendiri untuk menyelesaikan masalah itu sendiri. Saya pernah dengar ustaz-ustaz yang pernah mengatakan bahawa biarlah malaikat turun untuk memberikan kesedaran terhadap seseorang itu melakukan perubahan dalam kehidupan tetapi sebenarnya tidak akan berjaya jika dia sendiri tidak terdetik rasa tangggungjawab untuk melakukan perubahan. Justeru, konsep ini juga diguna pakai dalam teori ini sebagai matlamat meletakan sepenuhnya masalah yang dihadapi oleh klien atas bahunya sendiri di mana klien sendiri yang bertanggungjawab melakukan perubahan dan menyelesaikan masalah.

            Nah, saya sudah memberikan sesedikit penerangan umum mengenai teori ini dan saya rasa sudah masanya kita melihat apa pula pendekatan yang sesuai digunakan dalam teori ini. Pertama sekali seorang kaunselor atau pengamal teori ini harus ingat bahawa teori ini tidak memiliki sebarang teknik yang khusus dan sebenarnya kaunselor dalam teori haruslah berperanan sebagai pendengar dan betindak aktif terhadap luahan yang diampaikan oleh klien ketika sesi. Dalam mempraktikan teori ini, kaunselor ketika sesi bersama klien haruslah mewujudkan hubungan yang terapeutik antara kaunselor dengan klien kerana kita menyakini bahawasanya teori ini bergantung kepada kualiti hubungan antara kaunselor dengan klien. Justeru, dalam sesi kaunselor atau pengamal teori ini haruslah mewujudkan satu keadaan tunjang ataupun keadaan “core condition’ yang dilengkapi dengan tiga prinsip utama iaitu empati, kongruen, dan penerimaan tanpa syarat. Sifat empati ini seharusnya ditunjukkan oleh seorang kaunselor kepada klien dimana kaunselor cuba memahami permasalahan klien dengan meletakan dirinya dengan masalah klien. kaunselor ketika ini akan berusaha melihat permasalahan klien sejajar dengan apa yang dirasakan atau apa yang difikirkan oleh klien tersebut. Hal ini kerana, kadang-kadang kita melihat melihat perkara yang sama tetapi dalam aspek yang berlainan kerana kita semua mempunyai perspektif yang berbeza dalam suatu hal. Jadi, kauselor perlu memahami bagaimana klien berfikir. Dalam mengaplikasikan sikap kongruen dalam sesi, kaunselor seharusnya mengikhlaskan diri dalam menjalankan sesi bersama klien. Keadaan ini saya kira akan membentuk kepercayaan klien terhadap kaunselor dan tidak ada keraguan lagi bagi klien dalam menceritakan permasalahan yang dihadapi. Keikhlasan ini secara tidak langsung mengikis sikap negatif klien terhadap dirinya sendiri yang menyatakan dirinya tidak sempurna dan membentuk satu esteem kendiri yang tinggi dimana dia yakin dengan pandanganya sendiri. Penerimaan tanpa syarat sebenarnya adalah suatu keadaan dimana kaunselor tidak melihat kepada zahir dan batin klien dan tidak besifat “judgemental”. Kaunselor tidak sekali-kali melihat rupa paras, latar belakang keluarga, bangsa dan agama sebagai syarat terima klien. Saya merasakan bahwasanya klien akan merasakan bahawa diri mereka dihargai dan lega untuk menceritakan mengenai hal pemasalahan mereka apabila kaunselor tidak bertindak mengkritik dan menyoal siasat pernyataan klien persis “siasatan jenayah”.

            Secara menyeluruh kita melihat teori ini sebenarnya tidak lari daripada menggalakan klien berfikir, menyatakan pendapat, dan celik akal terhadap masalah yang seharusnya menjadi tanggungjawab klien itu sendiri kerana teori ini yakin bahawa klien adalah insan yang boleh dipercayai dan mempunyai kecenderungan untuk menuju kesempurnaan kendiri.

Satu teori yang mudah tetapi berguna telah pun anda fahami dan sudah pasti ada dalam genggaman anda!. Saya merasakan teori ini patut dijadikan sebagai pendoman anda dengan menerapkan nilai-nilai seperti empati, komgruen dan menerima tanpa syarat kerana keadaan dan sifat ini yang menjadi tunjang utama dalam kita melakukan pemusatan terhadap diri klien. saya kira ada beberapa ‘point’ penting yang sudah saya gelapkan sedikit daripada perkataan-perkataan lain kerana saya merasakan penting dalam memahami teori ini. Saya sangat berharap agar perkongsian kali ini mengenai teori pemusatan klien Carl Rogers ini bermanfaat bagi anda semua !. Mudah-mudahan saya mampu untuk meneruskan penulisan ini dengan izin Allah Azza Wajala…dan insyaalah kalau kita sama-sama mendoakan kebaikan bersama sudah pasti bercambah menjadi satu nikmat yang dirasai bersama. Sekian dahulu, moga ceri-ceria selalu…

           

            

No comments:

Post a Comment