Wednesday, 28 October 2015

TEORI BEHAVIOURISME-TEORI TINGKAH LAKU

                Untuk berbicara mengenai teori-teori yang terdapat dalam bimbingan dan kaunseling saya bukanlah orang yang terlalu arif mengenainya kerana saya juga insan yang sedang masih dalam proses belajar bak kata pepatah baru setahun jagung. Namun saya percaya walau sedikit pembacaan serta sedikit kefahaman saya mengenai tajuk ini saya rasa mampu untuk berkongsi bersama anda kali ini mengenai teori tingkah laku. Teori ini sebenarnya dipelopori oleh beberapa tokoh psikologi yang terkenal dan antaranya ialah Watson, Povlov, Skinner dan juga Albert Bandura. Seperti teori-teori bimbingan dan kaunseling yang lain, tokoh setiap teori mempunyai tersendiri mengenai tingkah laku  manusia dan permasalahannya dan begitu jugalah dengan teori yang saya ingin kongsikan iaitu teori tingkah laku yang pada asasnya melihat manusia itu lahirnya adalah suci atau baik dan mempunyai kencenderungan untuk melakukan perkara baik dan juga perkara buruk. Mereka lebih menggunakan konsep “tabula rasa” atau “kain putih” bagi menjelaskan fitrah manusia yang lahir tanpa sifat-sifat baik atau buruk. Ahli psikologi tingkah laku juga mengandaikan bahawasanya tingkah laku manusia itu dipelajari daripada persekitarannya dan bertindak balas dengan ransangan dan kelaziman klasik dan kelaziman operean sehingga membentuk tingkah laku seseorang individu itu. Teori ini sebenarnya tidak mengambil kira mengenai pemikiran dan perasaan seseorang individu atau klien. Walaupun begitu, bukanlah teori lain seperti teori kognitif tidak bersetuju dengan teori ini bahkan mereka mengatakan teori tingkah laku adalah salah satu cabang daripada teori kognitif dan mengambil konsep dalam teori tingkah laku dalam penerangan mereka kerana teori tingkah laku ini mengambil kira peristiwa yang mempengaruhi pemikiran dan perasaan manusia.


                Untuk lebih mudah cuba anda ingat beberapa konsep atau kata kunci yang saya senaraikan iaitu pelaziman klasik, pelaziman operan , pembelajaran peniruan, peneguhan, penghapusan, generealisasi, diskriminasi, dan pembentukan. Saya syorkan anda “search” makna senarai perkataan tersebut kerana ianya ialah senarai konsep atau istilah yang anda akan sentiasa jumpa dalam teori tingkah laku ini. Tapi jangan risau jika anda pening atau binggung mengenainya mulakanlah dengan senyuman padu anda kerana ianya adalah proses percambahan ilmu dalam otak anda!.


                Baiklah, saya teruskan lagi dengan matlamat dalam teori ini yang sudah pasti bermatlamat untuk melakukan modifikasi(pembaikan, pemulihan, atau perubahan) tingkah laku seseorang klien daripada tingkah laku yang kurang baik kepada tingkah laku yang lebih baik dan matang. Matlamat lain dalam tingkah laku ini juga adalah untuk mewujudkan satu tingkah laku yang ideal dengan mengambil kira peristiwa dan kesan daripada tingkah laku tersebut peristiwa itu. Saya juga berpendapat bahawa teori ini bermatlamat untuk memberikan kemahiran sosial kepada klien dan menyemaikan sikap bertanggungjawab dalam diri klien terhadap tingkah laku mereka.


                Pendekatan dalam teori ini juga mudah untuk kita fahami di mana kita boleh menggunakan kaedah pemahaman terhadap rantaian tingkah laku A-B-C iaitu A ialah (antecendent) iaitu peristiwa yang menjadi peransang atau stimuli kepada B(behaviour) iaitu tingkah laku manusia dan gerak balasnya terhadap peristiwa A dan C mewakili  (consequence) kesan tingkah laku ketika peristiwa kepada tingkah laku masa depan. Sebagai contoh, misalnya saya memberikan anda satu peristiwa A di kedai permainan iaitu terdapat seorang ibu membawa anaknya lalu di kedai mainan tersebut.  B(behaviour) pula ialah tingkah laku anak kecil itu yang mula meragam melihat permainan yang ada. Manakala, C(consequence) ialah kesan daripada tingkah laku pada B yang diperteguhkan degan apa cara sekali pun contohnya, apabila anak kecil yang menangis tersebut dibelikan permainan seperti yang dikehendakinya dan hasil daripada peristiwa tersebut menyebabkan budak kecil tersebut akan meragam apabila melalui kedai permainan tersebut  atau mana-mana kedai seumpamanya. Oleh itu, dalam kaedah ini kita cuba untuk mengubah tingkah laku tersebut dengan mengambil kira A(peristiwa) dan C( kesan tingkah laku). Kita sebagai ibu dalam peristiwa ini akan mencari jalan untuk mengubah peristiwa anak kecil yang meragam pada awalnya meragam di kedai permainan kepada peristiwa yang dirasakan sesuai seperti menjadikan kedai buku sebagai tempat kanak kecil tersebut meragam dan kita meneguhkan tingkah laku tersebut dengan membelikan buku yang kiranya lebih bermanfaat. Pendekatan pelaziman operan dan pelaziman klasik iaitu dengan menguatkan atau membuat peneguhan terhadap gerak balas yang dilakukan oleh klien   untuk membentuk tingkah laku ideal tersebut.


                Sebagai kaunselor pula, kita berperanan penting dalam membuat pemantauan terhadap perubahan tingkah laku klien kerana kemungkinan besar klien akan bertindak aktif dalam melakukan perubahan dan  saya kira pemantauan dan bimbingan kaunselor amat penting agar perubahan yang dilakukan akan menjana tingkah laku ideal dan diterimah norma masyarakat, orang sekeliling dan juga dirinya sendiri. Kaunselor juga memainkan peranan dalam mewujudkan satu idol atau ikon yang boleh dijadikan contoh dan ditiru oleh klien dalam usaha membina perwatakan tingkah laku yang diingini sesuai juga dengan pendekatan yang dilazimkan oleh Albert Bandura yang menyatakan bahawa tingkah laku manusia itu adalah hasil daripada peniruannya dengan tingkah laku persekitaran. Disamping itu, kaunselor juga berperanan dalam membuat peneguhan terhadap kelaziman yang akan menjadi keterlaziman tingkah laku klien dengan cara memberikan token kepada klien. Sebagai contoh, kita boleh berikan ucapan kata-kata semangat atau puji-pujian(token) sebagai dorongan kepada perubahan baik yang telah dilakukan oleh  klien. Bagi menguatkan kefahaman saya bawakan lagi satu contoh yang boleh dilakukan oleh kaunselor atau guru di kelas dimana kita mengkehendaki murid untuk “rajin” menyiapkan kerja sekolah misalnya, kita boleh menggunakan kaedah memberikan token seperti hadiah kepada murid yang berjaya menyiapkan kerja sekolah. Jadi, dengan token yang diberikan secara tidak langsung memberikan semangat kepada murid-murid untuk menyiapkan kerja sekolah tersebut dan jika hal ini berjaya diulang atau dilazimkan maka saya yakin bahawa hal ini akan menjadikan murid-murid “rajin” dan mendapat motivasi seperti yang diharapkan oleh kaunselor dan guru dan saya percaya pemberian token adalah salah satu langkah baik dalam peneguhan tingkah laku klien dan secara tidak langsung mampu untuk menghapuskan tingkah laku yang negatif dan yang tidak diingini oleh klien.


                 Teknik dalam teori ini kalau anda baca dari awal penulisan saya kali ini dimana saya ada menyuruh anda, mencari maksud kepada istilah-istilah yang terdapat dalam teori ini sebenarnya merupakan antara teknik-teknik yang wajar dimahirkan oleh seorang kaunselor dalam mengaplikasikan teori tingkah laku ini. Saya signifikankan kepada anda teknik asas dalam teori tingkah laku ini dimana anda wajar mahir dalam mengaplikasikan konsep, rantaian tingkah laku A-B-C, pembelajaran peniruan(modelling), mengaplikasikan kelaziman operan dan klasik untuk membentuk keterlaziman tingkah laku, peneguhan tingkah laku baik, penghapusan tingkah laku buruk, pengaplikasian token dalam pembentukan tingkah laku dan juga terdapat banyak lagi teknik yang sesuai tetapi saya kira sebagai pemulaan baik kita kuasai teknik-teknik ini dahulu.


 Sebagai mengakhiri perkongsian ini, saya merasakan bahawa teori tingkah  laku ini adalah teori yang unik dan sesuai digunakan dalam usaha membantu murid yang menghadapi masalah dalam tingkah laku seharian yang mungkin tidak berkenan dengan tingkah laku dirinya sendiri disamping tidak disenangi oleh orang di sekelingnya. Teori ini juga kalau kita bijak mengaplikasikannya juga memudahkan kita dalam menangani masalah-masalah murid yang mempunyai tingkah laku nagatif seperti malas, suka menipu dan nakal. Kiranya anda sebenarnya seorang yang hebat kerana mampu untuk membaca penulisan saya kali ini walaupun terdapat istilah-istilah baru yang mungkin agak membingungkan otak dan saya juga awalnya menghadapi masalah yang sama akan tetapi setelah beberapa kali membuat pembacaan dan rujukan mengenai teori tingkah laku ini akhiranya sedikit sebanyak membantu saya membuat sedikit rintisan ilmu mengenainya, begitu juga dengan anda di mana saya yakin dan optimis mengatakan anda mampu untuk memahami teori tingkah laku dan kefahaman mendalam anda dalam penulisan saya kali adalah satu kredit buat anda!. Insyaallah..dengan niat suci anda, dipermudahkan untuk memahami teori ini dan kalau diizinkan Allah untuk meneruskan penulisan ini saya akan berkongsi dengan anda beberapa lagi teori dalam bimbingan dan kaunseling….Amiin..!


                                                      

No comments:

Post a Comment