Assalamualaikum...apa khabar semua?. Alhamdulillah bertemu kembali kita dan inilah dia penulisan saya yang pertama bagi tahun ini..
Ya! kami belajar teori Barat!
“Ha!, aku paling susah percaya
dengan budak Bimbingan dan Kaunseling!. Dorang tu belajar semua teori barat!.”
Dengan nada
gurau seorang senior yang ku hormati itu berjenaka. Akan tetapi dalam jenaka
itu ada sinis yang membuatkan aku terasa hati dan hanya senyuman yang aku
lontarkan ketika teman-teman lain berketawa sesama mereka. Aku tahu dengan niat
seniorku itu yang hanya sekadar mahu menghiburkan hati kami semua. Inilah
senario atau fenomena yang paling aku takuti kerana orang mulai tidak yakin dan
pandang serong dengan ilmu yang kami pelajari hanya kerana kebanyakannya
berasal daripada falsafah dan teori hasil daripada pemikir barat. Saya rasa
pemikiran sebegini sudah pun bercambah dan menular dalam kebanyakan orang masa
kini bahkan yang menyedihkan lagi ada dalam kalangan mereka terdiri daripada
golongan berpendidikan.
Dalam
kesempatan kali ini, saya memberanikan diri untuk mengupas sedikit mengenai
fenomena “salah anggap dengan teori barat” meskipun saya tahu ada risiko untuk
mengundang salah faham dan salah tafsir serta percanggahan pendapat daripada
mana-mana pihak. Anggaplah, perkongsian kali ini untuk memberikan pencerahan
terhadap mereka yang merasa ilmu atau teori barat itu keseluruhannya bercanggah
dan tidak ada dalam ajaran islam.
Kiranya kali
ini saya akan mengupas mengenai teori “psikologi” mahupun “bimbingan dan
kaunseling” yang berkait dengan ajaran islam secara kontekstual merujuk kepada al
quran, hadis baginda Rasullah s.a.w. dan juga pendapat pemikir melayu serta
fikrah tokoh-tokoh Islam. Persoalan saya
yang pertama adakah teori barat ini ada dalam ajaran islam?. Nah, suka saya
terangkan bahawasanya teori barat yang selama ini kita pelajari dalam apa-apa
bidang sekali pun sebenarnya ada dalam ajaran islam manakala sebahagiannya ada
yang bercanggah. Melihat kepada teori dalam bimbingan dan kaunseling seperti,
psikoanalisis, teori pemusatan klien , teori tingka laku dan juga teori
rational emotive thinking sebenarnya ada dalam ajaran islam. Cuma kurang
celiknya kita sampai menganggap ilmu itu milik barat serta berani menyatakan
tidak boleh kita amalkan dan jadikan sebagai ilmu didada sedangkan ada perkara dan
dokmah sama yang sudah pun diterangkan dalam al-quran dan hadis 1400 tahun yang
lalu berbanding teori barat yang baru beberapa dekad dicatatkan dalam falsafah
mereka.
Ayuh kita lihat
pandangan teori ulung psikologi iaitu psikoanalisis yang dipelopori oleh
Sigmund Freud dan Anna Freud. Bagi pengetahuan anda, sesungguhnya teori yang
dikatakan bapa kepada segala teori psikologi barat dan asas kepada teori
bimbingan dan kaunseling sudah pun mendapat tentangan yang hebat daripada ahli
falsafah islam bahkan ahli sarjana barat
sendiri ada yang menolak pandangan serta teori ini sewaktu mula diperkenalkan.
Daripada Abdul Halim Othman dalam malakalanya yang berjudul Psikologi Melayu
menyatakan bahwa antara pandangan teori ini yang ditolak oleh sarjana barat
ialah konsep seperti id, libido, dan perasaan berahi emak (oedipal) dikatakan
masih kabur dan tidak dapat dibuktikan oleh sains. Bagi kaca mata masyarakat
islam pula teori ini ditentang hebat dek kerana Freud tidak memberikan
kedudukan yang terhormat kepada agama dan nilai-nilai rohaniah. Penerimaan
secara meluluh dan tanpa kritikan terhadap teori dan konsep daripada barat
boleh dikatakan sebagai satu bentuk “pengahambaan fikiran” yang membelunggu
jiwa kita terutamanya umat islam. Akan tetapi penolakan terhadap teori ulung
ini bukan bermakna kita menolak dan menutup pintu kepada barat, malah saya rasa kita perlu
mengkaji dan meningkatkan kefahaman terhadap ilmu-ilmu barat tetapi dengan
kewaspadaan untuk kemajuan sesuai dengan nilai kita sebagai orang melayu.
Kita teruskan
dengan teori behaviorisme atau dikenali juga sebagai teori tingkah laku hasil
pemikiran beberapa sarjana terkenal barat yang antaranya ialah skinner, pavloc
dan juga Watson. Secara umumnya teori ini mengatakan bahawa manusia itu
dilahirkan memiliki kecenderungan untuk melakukan perkara baik dan juga perkara
yang tidak baik. Manusia juga sering dikaitkan dengan konsep tabula rasa dan
kain putih di mana manusia lahir secara neutral dan dibentuk tingkah laku yang
disebabkan oleh keadaan persekirannya ataupun faktor kelaziman operan dan
keterlaziman operan iaitu tingkah laku manusia dicorakan mengikut
persekitarannya kerana berlaku peniruan tingkah laku. Berkenaan dengan konsep
manusia yang dibentuk tingkah lakunya oleh persekitaran sebenarnya pernah disebut
oleh baginda nabi Muhammad ﷺ yang telah mengatakan bahawa anak-anak
diumpamakan sebagai sehelai kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab
mendidik dan mencorakan anak mereka. Sesuai juga dengan sabdaan baginda Nabi
Muhammad tersebut yang menyeruh ibu bapa untuk membentuk tingkah laku anak-anak
berdasarkan contoh yang baik agar boleh dijadikan suatu teladan baik dengan
teori ini yang menyatakan tingkah laku manusia itu juga terbentuk hasil
daripada proses peniruan daripada persekitarannya. Bayangakan saudara sekalian,
teori ini pernah dinyatakan oleh baginda nabi Muhammad dan kini ada juga
disebutkan dalam teori barat dan kita kini gahnya berani berkata bahawa ianya
tak relevan untuk dipelajari?. Alangkah ruginya…ini baru satu teori..
Baiklah, teori seterusnya ialah sebuah teori
yang menjadi salah sebuah teori yang saya kira rasional untuk dibincangkan
iaitu teori pemusatan klien atau dikenali juga sebagai teori Humanistic yang diperkenalkan oleh Carl Rassom Rogers pada
makalahnya yang pertama berjudul “Counselling and Pshycotheraphy”. Teori yang
diperkenalkan oleh Rogers ini secara asasnya menyatakan bahawa manusia itu
sebenarnya baik-baik belaka dan manusia itu mempunyai kecenderungan untuk
menuju ke arah penyempurnaan kendiri. Secara jujur saya katakan sejurus
mengenali konsep atau teori ini, saya
mula merasakan dan sedar bahawa ada perkara yang disebutkan dalam teori ini
sebenarnya pernah disebutkan dalam kitab suci Al-Quran dalam Surah At-Tin ayat
ke-4 yang mafhumnya “ sesunggunya, kami telah menciptakan manusia dalam bentuk
yang sebaik-baiknya”. Bersandarkan ayat tersebut sebenarnya menjadi bukti
bahawa manusia menurut Al-Quran adalah ciptaan Allah SWT yang terbaik
terutamanya dari segi pemberian akal fikiran dan firtrah akhlak yang mulia. Hal
ini juga pernya dinyatakan oleh seorang tokoh terkenal Islam yang suka saya
bawakan pendapat daripada Imam Al-Ghazali mengenai manusia yang secara semula
jadinya Allah ciptakan dengan Akhlak yang mulia iaitu : “ personaliti individu
muslim itu terbentuk melalui pemberian Allah iaitu ajaran Islam itu sendiri,
iaitu sejak dilahirkan Allah SWT telah takdirkan manusia itu seorang yang
berakhlak mulia”. Sedemikianlah mengenai teori Hhumanistik yang sebenarnya ada
disebutkan dalam kitab Furqan(Al-Quran) dan disokong oleh Imam Al-Ghazali
secara nyata dan padu bagi menunjukkan bahwa teori ini ada relevannya untuk
dipelajari oleh kita semua.
Teori
Rational Emotive Thinking(REBT) hasil pemikiran Elbert Ellist juga merupakan teori yang sudah menjadi
kesukaan kebanyakan pengamal teori kaunseling yang terdiri daripada kalangan
kaunselor dek kerana teorinya yang mudah
difahami dan diaplikasikan kepada klien dan juga ada yang menyatakan bahwa
teori ini membantu kaunselor untuk menyingkatkan masa dalam membantu klien menyelesaikan
masalah. Teori ini secara asasnya mengatakan bahawa manusia itu mempunyai
kecenderungan untuk berfikir secara rasional dan tidak rasional. Disamping itu,
segala permasalahan manusia itu adalah hasil daripada pemikiran yang tidak
rasional kerana terbentuknya satu sistem pemikiran atau kepercayaan yang kurang
celik. Oleh yang sedemikian, langkah serta kaedah yang diamalkan dalam teori
ini dalam membantu klien menghadapi masalah adalah dengan mengenal pasti
“kepercayaan yang tidak rasional“ kemudian mewujudkan satu “pemikiran baru”
yang lebih bersifat positif bagi mencabar kerelevanan kepercayaan tidak
rasionalnya. Makanya, suka saya bertanyakan soalan kepada anda, apa sebenarnya kohenren serta pertautan
antara teori ini dengan mana-mana pendapat dalam Ilmiah Islamiah?. Cuba
fikirkan sejenak. Kalau anda rasa tiada tidak mengapa, biar saya jelaskan
kepada anda mengenai pertautan yang sememangnya ada dan pernah dinyatakan oleh
Sapora Sipon dalam makalahnya yang berjudul “Teori Kaunseling dan Psikologi” iaitu
pandangan Islam terhadap manusia secara fitrahnya mempunyai kebebasan untuk
berfikir secara iktiyar dalam menyempurnakan potensinya. Justeru, manusia itu
bebas untuk berfikir secara rasional atau secara tidak rasional sesuai dengan
konsep yang diterangkan dalam Al-Quran dimana Allah SWT telah memberikan
manusia peluang untuk memilih jalan yang baik dan buruk dengan cara berfikir
secara rasional berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah dalam Surah Al-Balad ayat
ke-10 iaitu mafhumnya “dan kami tunjukkan kepadanya dua buah jalan(jalan baik
dan buruk)”.
Sebagai mengakhiri penulisan kali ini, besarlah
harapan saya agar kita sama-sama menanamkan sikap inkuiri dalam diri kita
terutamanya dalam suatu disiplin ilmu dan bidang kerja yang masih dimonopoli
oleh ahhi-ahli barat khususnya dalam bidang kaunseling dan psikologi kerana
saya beranggapan bahawa setiap celah ilmu itu milik Allah SWT yang pastinya ada
pengukuhannya ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah sesuai dengan konsep Islam yang
Syumul(menyeluruh). Hasil daripada perkongsian kali ini sebenarnya ada satu
dokmah yang cuba saya bawakan kepada anda semua iaitu pemikiran Ortodoks dalam
menilai dan mengkritik secara rigid dan hina terhadap teori barat terutamanya
terhadap seseorang yang menuntut ilmu serta teori hasil pemikir barat pada saya
wajar dihapuskan dalam norma pemikiran kita. Begitu juga dalam menilai para
pengamal teori psikologi iaitu para kaunselor, usahlah dipandang enteng dengan
kredibiliti mereka hanya kerana mereka berteraskan konsepsi barat semata. Akan
tetapi dampingilah mereka dengan sikap yang terbuka dengan satu sudut
percambahan ilmu yang harmonis dan bukanya percanggah pendapat yang tragis.
Buat pendoman, saya luhurkan rasa bangga dan sukacita dengan adanya segelintir
sarjana Melayu yang masih memperjuangkan aliran pemikiran Melayu tanpa
menghambahka diri dengan ilmu yang dipelajari khusunya daripada falsafah barat
atau sebagainya. Usahlah kita jadi lalang yang dikatakan Melayu berubah
mengikut arah angin kerana bersifatkan “Pak Turut”, akan tetapi jadilah bintang
yang paling bersinar menerangi malam yang gelap sebagai petunjuk jalan yang
benar.