Tuesday, 3 November 2015

PROSES BIMBINGAN DAN KAUNSELING

            Pernakah anda melihat kudis di mana-mana anggota tubuh badan anda yang dari awalnya bernanah kemudian beransur-ansur pulih?. Sebenarnya pembaikan kudis tersebut dikatakan mengalami “proses” penyembuhan. Pada kali ini sebenarnya saya cuba untuk membawa satu topik yang menyentuh mengenai perkataan “proses” iaitu proses dalam bimbingan dan kaunseling ketika sesi bersama klien. Saya kira relevanlah mengapa sesi bimbingan dan kaunseling dikatakan suatu proses kerana kalau kita lihat definisi kepada bimbingan dan kaunseling yang telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang kaunseling banyak memulakan definisi mereka mengenai bimbingan dan kaunseling sebagai satu “proses” memberikan bantuan kepada klien. Satu contoh mudah, daripada Shertzer dan Stone yang telah mengatakan bahawa kaunseling ialah satu “proses” interaksi antara klien dan kaunselor sebagai bantuan untuk memahami diri dan keadaan persekitaran. Lihat perkataan proses itu menunjukkan betapa sesi bimbingan dan kaunseling adalah suatu yang melibatkan masa, peringkat dan fasa-fasa.

            Proses kaunseling hasil daripada rujukan beberapa buku saya telah dapati bahawa setiap penulis mempunyai pandangan yang berbeza mengenainya di mana ada yang menyatakan terdapat lapan proses dalam bimbingan dan kaunseling dan ada yang menyatakan bahawa terdapat lima proses utama dalam bimbingan dan kaunseling. Jadi, sebenarnya proses bimbingan dan kaunseling boleh saya katakan sebagai sesuatu yang bersifat dinamik dan tidak terlalu statik mengikut keselesaan dan keperluan kaunselor dalam menjalankan sesi yang dijalankan. Lima proses yang kiranya penting atau menjadi asas dalam proses bimbingan dan kaunseling iaitu, bina hubungan, membuat penerokaan, membuat keputusan, tahap perlaksanaan keputusan, dan penamatan sesi.

            Bagi proses yang pertama iaitu membina hubungan bermaksud kaunselor akan memulakan sesi dengan beramah mesra atau sedikit bertaaruf dahulu dengan klien. Proses ini agak penting kerana kaunselor akan cuba untuk mewujudkan rasa selesa kepada klien agar tidak berasa takut atau teragak-agak dengan kaunselor ketika dalam sesi. Terdapat beberapa langkah juga sebenarnya dalam proses membina hubungan antaranya ialah kaunselor akan menjelaskan matlamat sesi kepada klien agar klien tidak menghadapi kekeliruan dan menjelaskan tentang peranan kaunselor dalam sesi serta hak-hak klien ketika dalam sesi. Kaunselor juga akan membina struktur sesi, iaitu kanselor akan menjelaskan juga mengenai bentuk sesi yang akan dijalankan. Dalam proses ini sedar atau tidak kita bukan sahaja membina hubungan dengan klien secara terapeutik malah kita sedang membina kepercayaan dalam diri klien terhadap kaunselor yang amat mempengaruhi sesi sesuai dengan pandangan Carl Rogers yang melihat keberkesanan sesi bimbingan dan kaunseling melalui kualiti hubungan antara klien dengan kaunselor.

            Seterusnya, kaunselor akan meneruskan sesi bimbingan dan kaunseling dengan melakukan penerokaan terhadap masalah yang dihadapi oleh klien. Kaunselor dalam proses ini haruslah bertindak bijak dalam mendapat penjelasan sebenar daripada klien dengan mengajukan soalan-soalan yang berbentuk terbuka(biasanya soalan menanyakan pendapat) dan mengelakkan mengajukan soalan yang berbentuk tertutup(soalan yang dijawab dengan perkataan “ya” atau “tidak”). Melalui penerokaan inilah kaunselor akan dapat melihat beberapa aspek masalah yang dihadapi oleh klien yang antaranya ialah skop permasalahan yang dihadapi oleh klien, di mana seorang kaunselor akan dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi klien itu dalam bentuk konteks, persekitaran, dan juga menilai keadaan atau penglibatan mana-mana individu atau pihak yang berkenaan dengan masalah klien. Tahap kefungsian klien dengan masalahnya juga diambil kira kerana kaunselor itu harus tahu sejauh mana klien mampu menghadapi masalah yang sedang dihadapi dari aspek sosial dan psikologi dan adakah klien berada pada aras yang sesuai dalam keterfungsian klien terhadap masalah tersebut. Kaunselor juga akan meneroka hubungan klien dengan golongan-golongan yang signifikan dengan klien sama ada dalam bentuk positif atau negatif. Penerokan kaunselor terhadap klien juga melihat bagaimana atau gaya atau juga corak pemikiran dan tindakan klien terhadap maslah yang dihadapinya. Kaunselor pada hemat saya melihat sejauh mana klien “berani” mengambil risiko masalah yang lepas atau masalah kini dan “bagaimana” dia “berfikir” dan “bertindak” dengan masalah tersebut. Aspek kekuatan klien juga diteroka oleh kaunselor ketika melakukan penerokaan terhadap klien. Persoalan mudah untuk kaunselor cetuskan dalam pemikirannya terhadap klien, iaitu sejauh mana klien faham dengan masalah yang sedang dihadapinya? Dan adakah klien mampu untuk bertanggungjawab terhadap masalah yang dihadapinya.

            Proses diteruskan lagi dengan membuat keputusan dalam sesi. Klien dan kaunselor haruslah meletakkan matlamat yang ingin dicapai dalam sesi yang dijalankan. Matlamat yang ditentukan bertujuan untuk mengelakkan klien berasa keliru dan sebagai salah satu garis panduan dalam mencapai objektif sesi. Keputusan dalam sesi juga memerlukan klien dan kaunselor menentukan strategi bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien. Strategi yang ditentukan haruslah melihat kepada faktor-faktor yang bakal mempengaruhi keberkesanan strategi tersebut. Antara yang menjadi faktor kepada keberkesanan strategi ialah faktor klien itu sendiri kerana strategi tersebut haruslah sesuai dengan jenis masalah klien, corak pemikiran klien, dan juga latar belakang klien. faktor kaunselor juga boleh kita lihat dari aspek pengalaman kaunselor dalam berhadapan dengan permasalahan yang persis dengan masalah yang dihadapi, aras pemikiran kaunselor atau aras kognitif dalam penyelesaian masalah, kemahiran-kemahiran yang dimiliki oleh kaunselor dan juga keteguhan pengangan kaunselor dengan teori yang dimiliki. Saya juga yakin bahawa faktor persekitaran juga turut mempengaruhi strategi yang hendak dilaksanakan di mana kaunselor harus melihat latar tempat strategi yang akan dilaksanakan atau diaplikasikan oleh klien di luar sesi nanti, apa suasananya?, Bagaimana pula dengan keadaan hidup klien. Seyogianya dalam menentukan strategi, faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan strategi harus dititikberatkan kerana kita tidak mahu membina satu strategi yang sia-sia seperti membina jambatan tanpa tiang atau seperti berjalan sambil tutup mata yang melakukan sesuatu tanpa mengkaji atau melakukan sesuatu itu tanpa melihat kesannya terhadap klien.

            Untuk proses yang seterusnya adalah rentetan daripada proses yang sebelumnya iaitu proses pelaksanaan keputusan yang telah dipersetujui antara klien dan kaunselor. Baiklah begini, kita telah memutuskan matlamat dan strategi dalam proses sebelumnya dan keputusan tersebut haruslah dilaksanakan oleh klien sebagai mencapai objektif sesi bimbingan dan kaunseling tersebut. dalam proses ini sebenarnya klien haruslah memahami akan langkah yang harus dilaksanakan atau apa strategi yang sebenarnya mampu untuk dirinya laksanakan. Kaunselor secara khususnya seharusnya menilai tahap perlaksanaan keputusan yang telah dipersetujui dan memberikan pertanyaan lisan kepada klien akan perkembangan yang telah klien capai. Sebagai contoh, kaunselor melakukan “check up” kepada senarai strategi yang dirasakan sudah dicapai atau belum dicapai oleh klien sebagai penanda aras kepada pencapaian klien. Tahap pelaksanaan keputusan ini juga bagi saya mampu untuk menunjukkan adakah sesi kita atau seseorang kaunselor itu berjaya atau tidak, dan dalam proses ini juga jika dirasakan perlu untuk menukar strategi maka pada proses inilah masanya untuk merancang strategi baru.

            Proses akhir bimbingan dan kaunseling adalah proses penamatan. Pada proses ini klien dan kaunselor memikirkan sama ada sesi tersebut akan ditamatkan atau diteruskan. Klien dan kaunselor juga melihat sama ada sesi perlu dilanjutkan akibat ada matlamat yang sudah dicapai atau belum dan jika belum klien akan diminta untuk menjelaskannya sebagai langkah untuk merancang atau membincangkan mengenai halangan-halangan yang dihadapi untuk menuju matlamat tersebut. Dalam proses penamatan ini juga klien sebenarnya berhak untuk menaangguhkan sahaja sesi terebut dan meneruskannya pada lain waktu. Hal ini ada dinyatakan oleh Gladding bahawa klien akan menghadapi masalah untuk menghadapi dunia selepas sesi iaitu terkapai-kapai tanpa bimbingan dan panduan daripada kaunselor. Justeru, klien seharusnya meneruskan sesi sehingga benar-benar merasakan bahawa dia sudah mampu untuk menghadapi pemasalahannya tanpa bantuan atau dengan dayanya sendiri hasil daripada khidmat bimbingan dan kaunseling daripada kaunselor atau mana-mana pihak yang signifikan. Untuk mengakhiri proses, kaunselor haruslah memberikan ruang untuk klien merumuskan sesi dan kaunselor boleh untuk menambah rumusan klien. Jika klien menyatakan bahawa dia sudah mampu untuk menghadapi permasalahanya dan kaunselor mendapati bahawa klien sudah mampu berdikari maka sesi boleh ditamatkan.

            Saya sejujurnya agak berminat dengan proses bimbingan dan kaunseling yang telah dinyatakan oleh Dr Sapora Sipon seorang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia yang telah membahagikan proses kaunseling dalam penulisan jurnalnya  kepada tiga fasa iaitu fasa sebelum proses bantuan, fasa semasa proses bantuan dan selepas proses bantuan. Di mana beliau lebih mempunyai penerangan serta kaedah yang lebih berkesan semasa menjalani proses bimbingan dan kaunseling. Namun, suka juga saya berkongsi dengan anda secara umum proses bimbingan dan kaunseling menurut pemahaman saya kerana mungkin akan lebih memudahkan anda untuk faham almaklum bahasa orang baru belajar meniti titi sayembara kaunseling mungkin agak kurang professional tapi mudah difahami.
Sekadar disini dahulu perkongsian fikrah mengenai proses bimbingan dan kaunseling. Kepada anda yang bakal kaunselor atau memang seorang kaunselor ingat!, jangan pernah pandang enteng dengan proses bimbingan dan kaunseling kerana ianya laksana akar yang menunjangi pepohon yang amat penting sebagai satu elemen penting untuk anda fahami sebagai mencapai keberkesanan dan keberhasilan sesi anda bersama klien. Saya menyeru dengan rendah dirinya kepada anda dan diri saya jangan pernah putuskan doa anda  dalam kebaikan. Insyallah kita sama-sama istiqamah dalam mentadabur dan memahami ilmu bimbingan dan kaunseling dan apa-apa jua ilmu yang bermanfaat. terima kasih anda semua hebat!.

Kuntum kasih berseratkan,
Daun-daun berguguran,
Mohon inzin berwarkah lagi,
Salah silap harap maafi…